Portal JobsMalaysia 2.0 Tampung Hingga 19 Juta Pengguna Berdaftar

CYBERJAYA — Portal JobsMalaysia 2.0 yang dilancarkan hari ini boleh menampung sehingga 19 juta pengguna berdaftar, dan mampu mengendalikan 40,000 capaian dalam satu-satu masa.

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata portal pencarian kerja itu telah ditambah baik dan lebih mesra pengguna dengan kos pembangunan sebanyak RM24.5 juta oleh Mimos Bhd sejak 2015.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan portal itu, beliau berkata penambahbaikan itu bertujuan memastikan majikan dan pencari kerja mendapatkan perkhidmatan pekerjaan yang lebih efisien.

“Portal baru ini menampilkan ciri pemadanan automatik dan memberikan syor berkenaan peluang pekerjaan yang bersesuaian dan tawaran peluang diemelkan terus kepada calon,” katanya.

Kulasegaran berkata portal itu yang boleh dimuat turun di Google Play atau Apps Store turut dilengkapi dengan ciri ujian minat kerjaya berasaskan psikometrik sebagai panduan kepada pemohon kerja.

Menerusi ciri-ciri baharu berkenaan, Kulasegaran berkata seseorang pengguna boleh mencari kerja di kawasan berhampiran tempat tinggalnya serta mengikut radius dikehendaki.

“Sistem baharu ini menggunakan data geospatial bagi mencari peluang pekerjaan merentasi pemetaan geografik mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, secara visual dan interaktif oleh pegawai di Jobs Command Centre,” katanya.

Pada masa ini, Portal JobsMalaysia menawarkan 162,000 pekerjaan membabitkan sembilan kategori antaranya pengurusan, profesional, juruteknik, kerani, pertukangan, loji, perikanan serta perkhidmatan jualan, katanya.

Setakat ini, kejayaan penempatan kerja menerusi portal JobsMalaysia adalah 223,967 pekerjaan bagi tahun 2015, 176,105 pekerjaan (2016), 183,433 pekerjaan (2017) dan 124,118 pekerjaan bagi 2018 sehingga 31 Ogos lalu, katanya.

“Majikan boleh iklankan kekosongan jawatan secara percuma dan padanan kerja menerusi ‘machine tie-up’ diberi keutamaan kepada warga tempatan.

“Apabila kerja- kerja itu tidak diisi rakyat Malaysia, barulah ia dibuka kepada warga asing tetapi tertakluk kepada syarat dan terma,” katanya. – BERNAMA

Loading...