Portal Digital Usaha Sama Bernama, RTM & Japen Bakal Diwujudkan

JOHOR BAHRU – Perkhidmatan digital atau portal digital usaha sama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan bakal diwujudkan dalam usaha menghadapi cabaran media digital masa kini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, ketika mengumumkan perkara itu berkata Bernama, RTM dan Jabatan Penerangan mempunyai tenaga dan infrastruktur yang boleh dipermodenkan dengan teknologi baru, sekaligus membolehkan ketiga-tiga agensi ini bersaing dengan media digital sedia ada.

“Kita sedang melihat bagaimana kita boleh mewujudkan kerjasama antara Jabatan Penerangan, Bernama dan RTM supaya kita dapat mewujudkan perkhidmatan digital. Saya mahu pastikan yang kita boleh bersaing dengan media-media lain khususnya media sosial.

“Kita lihat bagaimana sekarang ada banyak portal yang baru di era ini, portal-portal ini memang mempunyai tarikan yang tinggi, ini adalah kerana portal-portal itu boleh membawa kepada “breaking news” kepada rakyat dan begitu pantas.

“Ini adalah sesuatu yang sedang kita lihat dan kaji. Mungkin suku pertama tahun depan kita akan umumkan tentang perkara ini. Itu adalah antara rancangan yang kita akan laksanakan tahun hadapan,” kata beliau kepada pemberita di Jabatan Penyiaran Johor, di sini hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga agensi berkenaan perlu sentiasa di hadapan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan bersaing dengan media-media lain melalui platform digital.

“Kita perlu mencari mekanisme untuk memastikan kita dapat menyebar berita dengan pantas…mungkin boleh dilakukan menerusi Twitter, Facebook dan selepas itu menghasilkan berita yang dikeluarkan oleh Bernama, kemudian saluran tv berita kita,” katanya.

Mengambil Channel News Asia sebagai contoh, Gobind berkata saluran televisyen itu telah mengambil pendekatan yang sama dengan menyampaikan berita mereka melalui platform digital dan secara aktif menggunakan Twitter mereka.

“Kita mesti sentiasa di depan dalam membawa berita kepada rakyat Malaysia dan berita itu perlu berita yang disahkan dan tentunya berita yang tepat dan sahih.

“Inilah sebabnya kerjasama antara ketiga-tiga (agensi) akan amat membantu dan untuk mengelakkan pertindihan. Kita tidak mahu satu keadaan di mana ada ramai tenaga di situ, walhal kita boleh gunakan tenaga pekerja dengan jimat,” tambahnya lagi. – BERNAMA

Loading...