Populariti Mahathir Merosot Untungkan Anwar?

POPULARITI Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didapati merosot oleh tinjauan yang dilakukan badan penyelidik diketuai Mohd Rafizi Ramli. Kaji…

POPULARITI Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didapati merosot oleh tinjauan yang dilakukan badan penyelidik diketuai Mohd Rafizi Ramli.

Kaji selidik bulanan terbaru yang dijalankan Invoke Malaysia (Invoke) mendapati populariti Mahathir dan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan merosot sejak waktu awal mengambil alih pentadbiran.

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi berkata, kaji selidik dua minggu lalu mendapati populariti perdana menteri merosot kepada 53 peratus sahaja berbanding 72 peratus pada Jun lalu.

Katanya, hasil kaji selidik itu mendapati penurunan drastik 20 peratus dalam kalangan responden daripada ketiga-tiga kaum iaitu Melayu daripada 66 peratus kepada 45 peratus, Cina (87 peratus kepada 65 peratus) dan India (84 peratus kepada 64 peratus).

Penurunan yang didapati ini berlaku selepas muncul banyak isu yang menggemparkan negara, dengan isu hubungan kaum menjadi isu utama.

Pendedahan kemerosotan populariti Mahathir oleh Rafizi ini ialah kali pertama perdana menteri yang mengetuai PH itu menghadapi penilaian yang negatif.

Bagaimanapun, Rafizi yang diketahui orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat menggunakan hasil tinjauan ini untuk meningkatkan tekanan ke atas Mahathir.

Perdana menteri yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini tidak disenangi banyak pihak dalam PH kerana menerima kemasukan beramai-ramai ahli Parlimen UMNO ke dalam partinya.

Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha untuk mengukuhkan kedudukan Mahathir sebagai perdana menteri dan PPBM dengan menambahkan kerusi Parlimen parti ini.

Anwar, yang masih menjalani hukuman penjara semasa Pilihan Raya Umum ke-14 berlangsung dijanjikan jawatan perdana menteri yang dirancang dilepaskan oleh Mahathir yang dipilih PH sebagai perdana menteri sementara. – Mynewshub.tv

Loading...