Politik Lagakan Pemimpin Ancam Keselamatan Negara – KPN

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, memberi amaran terhadap segelintir individu yang taasub dan jumud kepada pemimpin politik yang melaga-lagakan pemimpin mereka sehingga berlaku pertengkaran dan pergaduhan, selain menyebarkan berita tidak sahih.

Merujuk perkembangan politik negara ketika ini, beliau menegaskan ‘politik jijik dan kotor’ atas kepentingan peribadi itu bukan sahaja situasi tidak sihat yang mengundang perpecahan dan merosakkan perpaduan masyarakat dalam negara, malah boleh mengancam keselamatan negara.

“Ingin saya tegaskan isu ini membabitkan semua pihak, sama ada dalam kalangan parti yang memerintah dan parti pembangkang. Saya lihat ini situasi yang tidak sihat dan boleh mengancam keselamatan negara.

“Golongan yang jumud dan taasub ini sanggup berbuat apa sahaja demi kelangsungan politik dan kepentingan peribadi sehingga sanggup memecahbelahkan perpaduan dan perjuangan mereka yang dibentuk selepas berpuluh tahun.

“Individu dan golongan seperti ini juga banyak mengganggu tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Tugas utama polis sepatutnya ditumpukan usaha membanteras gejala dadah, judi, maksiat serta menyiasat kes jenayah lain teralih kepada kes remeh membabitkan ahli politik,” katanya ketika dihubungi BH.

Abdul Hamid menegaskan semua pihak perlu tahu undang-undang dan had kebebasan yang diberikan sehingga tidak memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian kaum.

“Saya lihat budaya caci-mencaci, keji-mengeji serta kutuk-mengutuk kerana berlainan fahaman politik semakin serius sehingga tular ke dalam media sosial, sekali gus menyebabkan perpecahan sehingga berlaku pergaduhan seperti yang berlaku dalam sebuah kongres parti politik baru-baru ini.

“Ingin saya tegaskan jangan menghidupkan politik jijik dan kotor sehingga turut menyebabkan keharmonian antara masyarakat terjejas. Kalau nak ‘beradu’ buat secara sihat atau dalaman parti berkenaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap mengambil tindakan tanpa mengira latar belakang sekiranya tindakan yang dilakukan golongan terbabit didapati menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, selagi masih menjawat tugas Ketua Polis Negara, beliau akan memastikan segala cubaan mengganggu gugat ketenteraman awam dihapuskan menerusi tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Jumaat lalu, dua kekecohan dilaporkan berlaku ketika Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), dengan yang pertama tercetus jam 8.25 pagi apabila kumpulan berbaju biru cuba memasuki dewan kongres, tetapi dihalang kumpulan berbaju hitam.

Kekecohan kedua tercetus kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila ada individu dipukul menggunakan objek keras dan berlaku rusuhan sehingga berlarutan ke luar bangunan itu.

Setakat Selasa lalu, polis sudah menahan enam daripada 14 individu disyaki terbabit insiden kekecohan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim, dilaporkan berkata enam individu berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun itu dipercayai ahli parti berkenaan dan ditahan susulan laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, penting bagi semua rakyat dari pelbagai latar belakang untuk memahami erti sebenar Perlembagaan dan undang-undang demi kestabilan ekonomi, keharmonian kaum dan kemakmuran bersama.

“Saya hairan apabila ada pihak yang mencadangkan buang orang Cina, buang orang India dan buang orang Melayu dalam laman media sosial dan portal berita tertentu, seolah-olah negara kita tiada undang-undang.

“Kita nak buang mana mereka ini semua kerana mereka lahir di sini dan mereka adalah rakyat Malaysia,” katanya. – BH Online

Loading...