Polisi Kerajaan PH Merugikan Negara – Shamsul

SHAH ALAM – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menjangkakan Indonesia akan jauh meninggalkan Malaysia dari segi pelaburan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, jika sebelum ini Malaysia di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) sering menjadi negara pilihan untuk pelaburan asing, sebaliknya kini tidak lagi berlaku.

“Kenapa? Indonesia politiknya stabil dan presiden serta kerajaannya diyakini. Indonesia bijak merebut peluang dan merangka masa depan. Mereka tidak bermusuh dengan negara lain.

“Malangnya Malaysia. Situasi politik tidak stabil. Kerajaan PH tidak diyakini pelbagai pihak. Pelbagai institusi penting negara; Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan sebagainya dilihat pelbagai pihak ada campur tangan kerajaan PH.

“Ekonomi negara tidak diurus dengan baik. Polisi dan dasar negara tidak jelas serta tidak konsisten siapa penentunya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau mengulas laporan media menyatakan negara jiran itu kini menjadi pilihan pelabur Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bernilai 314.9 trilion rupiah (RM93.5 bilion) merangkumi pelaburan dalam tenaga dan sektor lain semalam.

Mengulas lanjut beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, lebih malang polisi dasar luar negara turut merugikan negara.

“Perdana Menteri Malaysia (Tun Dr. Mahathir Mohamad) mencipta musuh dengan pelbagai negara. Semua ini merugikan rakyat negara ini. Jika ini berterusan, Malaysia akan ketinggalan,” katanya.

Beliau mencadangkan agar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin boleh berbincang dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Bapak Zainudin Amali untuk memberi peluang anak muda Malaysia bekerja di Indonesia.

“Apatah lagi janji Pilihan Raya Umum Ke-14 PH untuk sediakan satu juta peluang pekerjaan nampaknya semakin malap,” katanya. – Sinar Harian

Loading...