Polis Tunggu Hasil Ujian Ke-2 ADUN Terbabit Kes Dadah

SHAH ALAM – Polis sedang menunggu keputusan saringan ujian air kencing kali ke-2 ke atas seorang ADUN PPBM dari Selangor yang ditahan bersama 16 individu lain atas dakwaan penyalahgunaan dadah dan terbabit aktiviti perjudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd berkata, tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil ujian itu.

“Sekarang kita tunggu laporan patalogi. Kita bukan pakar. Itu bukan bidang kita.

“Dalam semua kes membabitkan dadah, kita akan buat saringan awal dan jika positif, kita tidak boleh cakap dia penagih (dadah).

“Jadi, kita kena hantar spesimen ke hospital dan pihak itu akan tentukan keputusan hasil dari ujian dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Semalam, Pengerusi PPBM Selangor, Abdul Rashid Ansari mengesahkan seorang ADUN dari parti itu ditahan polis pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pula mengesahkan penahanan 17 individu, termasuk 6 wanita di sebuah kondominium di Jalan Puchong awal pagi semalam, atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.

Katanya, hasil pemeriksaan di kondominium itu menemui plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin seberat 0.5g dan satu piring kaca yang turut mempunyai dadah jenis sama seberat 0.3g.

“Polis turut menemui sebatang rokok dibalut daun kering dipercayai dadah jenis ganja dan beberapa daun terup dan cip dipercayai digunakan untuk permainan judi.”

Hanya seorang daripada 17 individu itu negatif dadah.

Ditanya mengenai penafian seorang ADUN Selangor yang nafi ditahan polis, Khalil berkata, mana-mana kenyataan selain pihak berkuasa tidak diterima.

Sementara itu, Khalil berkata, polis Selangor berjaya merampas dadah bernilai RM2.1 juta sejak awal tahun ini.

“Rampasan itu melibatkan 40 bungkus plastik berisi dadah disyaki syabu seberat 42kg.

“Dalam serbuan di Jalan Gasing, Petaling Jaya itu, polis menahan 4 individu termasuk seorang dari negara jiran,” katanya sambil memberi amaran kepada sindiket dadah yang polis akan menyita semua harta individu terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah. – FMT

Loading...