KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis trafik cedera dirempuh sebuah kereta dipandu seorang pelajar kolej swasta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Hishamuddin ke Jalan Raja Laut, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.11 pagi itu, Konstabel Aniq Mohd Kasim, 22, sedang membuat kawalan lalu-lintas di lokasi berkenaan sebelum tiba-tiba sebuah kereta Mercedes Benz E200 melanggarnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Jalan Hishamuddin ke arah Jalan Raja Laut sebelum melanggar Aniq.

“Ketika itu mangsa yang bertugas di Bahagian Kawalan Lalu Lintas JSPT Kuala Lumpur sedang membuat kawalan lalu-lintas di tengah jalan sebelum kereta terbabit yang datang dari arah hadapan melanggarnya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak di tengah jalan dan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.

“Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu, pemandu kenderaan berusia 25 tahun itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee untuk siasatan lanjut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online

Loading...