Polis Teruskan Usaha Buru Goh

KUALA LUMPUR – Polis meneruskan usaha memburu suspek utama kes pengubahan wang haram didalangi sindiket Macau Scam yang melarikan diri sebaik dibebaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Goh Leong Yeong, 32, dikehendaki berkaitan siasatan membabitkan tiga kes mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, setakat ini usaha mengesannya sedang dijalankan dan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada polis.

Mengulas mengenai insiden suspek melarikan diri itu, Huzir berkata, kes itu disiasat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

“Kita tidak mahu bertindih soal siasatan berkaitan insiden melarikan diri itu sama ada dia dibantu bodyguard (pengawal peribadi) atau tidak itu akan disiasat oleh EAIC.

“Sementara polis mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kegiatan perjudiannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tiga individu itu kini ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengeluarkan fotofit suspek yang dikenali sebagai Goh Leong Yeong.

Harian Metro sebelum ini melaporkan suspek didapati melarikan diri dengan bantuan dua pengawal peribadinya berdasarkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan SPRM di Putrajaya.

Dalam kejadian itu, suspek dilaporkan sudah menaiki kenderaan miliknya yang kemudian dilihat menuju ke pintu pagar utama bangunan itu untuk keluar selepas selesai proses dokumentasi jaminan.

Namun, ketika pergerakan antara pintu lobi dengan pintu pagar utama itu, suspek dipercayai keluar dari kenderaan terbabit lalu melarikan diri ke pagar sisi berdekatan pintu belakang bangunan SPRM. – myMetro Online

Loading...