Polis Terima 6 Laporan Susulan Pendedahan Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Polis menerima enam laporan susulan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sudah membuka Kertas Enkuari Polis bagi meneliti dakwaan dan akan mengambil keterangan pihak yang terbabit dalam masa terdekat.

“Maklumat itu akan dikumpul dan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sudah membuka kertas siasatan, yang mana setakat ini kita buka Kertas Enkuari Polis bagi meneliti apakah seksyen yang sesuai untuk teruskan siasatan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ditanya sama ada kertas siasatan dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (Non Further Action), Acryl berkata, hanya Timbalan Pendakwa Raya sahaja yang boleh menentukan kertas siasatan ditutup atau tidak.

“Inilah sistem semak dan imbang, kita buka siasatan dan ambil mengikut seksyen berkaitan selepas kita fikir lengkap, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara sama ada mencukupi atau tidak untuk diteruskan siasatan.

“Jika masih ada kekurangan kita akan cari dan hantar balik kepada mereka. Mereka akan putuskan sama untuk pertuduhan ke mahkamah, namun jika diteliti tidak ada kesalahan, kertas siasatan akan diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hamid mendakwa berlaku campur tangan politik dalam urusan PDRM yang tidak sepatutnya berlaku. – myMetro Online