Polis Tak Tutup Kes Exco Perak Didakwa Rogol Amah

IPOH – Polis Perak menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kes melibatkan Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong ditutup pihak pendakwaan kerana mendapat arahan Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya juga mendapati orang ramai masih mempercayai dan menularkan dakwaan polis tidak menjalankan siasatan dengan baik sehingga kes tersebut tidak diteruskan.

“Dimaklumkan bahawa pihak peguam YB Yong (Choo Kiong) sudah menghantar representasinya kepada Peguam Negara tetapi permohonan tersebut ditolak dan mengarahkan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak untuk meneruskan pendakwaan terhadap kes ini.

“Pihak polis ingin menegaskan apa sahaja yang dinyatakan orang tertentu bahawa kes ini telah ditutup adalah tidak benar. Tindakan akan diambil terhadap mana-mana orang yang menyebarkannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya polis sedang jalankan siasatan terhadap pemilik Facebook Fahaizal Lee di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat fitnah menyatakan bahawa Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah dibebaskan.

Sementara itu, Razarudin menjelaskan perbicaraan kes tersebut ditetapkan pada 10 hingga 14 Februari ini.

Menurutnya, polis sudah membuat persiapan rapi kawalan keselamatan di kawasan mahkamah dan sepanjang perbicaraan berlangsung. – Sinar Harian

Loading...