Polis Tahan Remaja Lelaki Samun Cederakan Mangsa

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun sehingga mencederakan mangsa dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Subuh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah itu kira-kira pukul 10 pagi dan menahan remaja berumur 16 tahun itu.

“Hasil siasatan polis mendapati remaja itu bersama seorang lagi rakannya yang juga remaja lelaki, terlibat dalam kes samun di tepi Jalan Bukit Tengah pada 3.50 pagi, 5 Dis lepas.

“Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 29 tahun dan merupakan jurusolek sedang berjalan di kawasan berkenaan sebelum sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampirinya dan terus menarik beg silang mangsa,” katanya.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, mangsa terjatuh sebelum diseret beberapa meter oleh dua lelaki berkenaan dan luka di kedua-dua belah siku dan lutut kiri.

Nik Ros Azhan berkata wanita itu turut mengalami kerugian kira-kira RM2,500 selepas beg yang mengandungi wang tunai dan telefon bimbit disamun dua lelaki berkenaan.

Katanya susulan penahanan remaja yang sudah tidak bersekolah itu, polis merampas telefon bimbit milik mangsa bersamanya. Usaha mengesan rakan remaja terbabit berumur 14 tahun giat dijalankan.

“Berdasarkan siasatan, mereka terlibat dalam beberapa kes samun dan ragut di sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lepas. Ada mangsa yang mengalami kecederaan akibat kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan. – BERNAMA