Polis Tahan Lelaki Bakar Mimbar Masjid

PADANG TERAP – Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun berhubung kes kebakaran ruang mimbar Masjid Kampung Padang Setol, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, pihak polis berjaya menjejaki suspek pada jam 3 petang di Kampung Tanjung, Pedu, Kuala Nerang.

Katanya, suspek mempunyai dua rekod jenayah sebelum ini berkaitan dengan khianat dan judi.

“Pihak polis telah menemui beberapa bukti kukuh yang boleh mengaitkan suspek dengan kejadian jenayah khianat ke atas pusat ibadah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Menurut Noh, kes disiasat bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan bukti-bukti berkaitan suspek masih lagi dalam siasatan dan belum boleh didedahkan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan berkaitan kes kebakaran yang berlaku di ruang masjid Kampung Padang Setol.