Polis Tahan Ahli Politik Didakwa Cabul Unduk Ngadau

KOTA KINABALU – Seorang ahli politik Sabah yang didakwa mencabul seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, ditahan polis hari ini.

Lelaki terbabit ditahan selepas membuat sidang media berhubung dakwaan berkenaan di pejabatnya di Asia City, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Difahamkan, sidang media dibuat berhubung tindakan mahkamah yang akan diambil terhadap dua individu dan sebuah laman blog.

Ia dipercayai berkaitan video yang disiarkan menunjukkan beliau berselisih faham dengan pengawal keselamatan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, suspek sudah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Sementara itu, Hazani berkata, peserta Unduk Ngadau yang menjadi mangsa kejadian ini sudah dipanggil untuk hadir rakaman keterangannya, hari ini.

Katanya, wanita berusia 20-an itu dipanggil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Sebelum ini, Hazani menegaskan polis akan menjalankan siasatan berhubung laporan seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri yang mendakwa dicabul seorang ahli jawatankuasa penganjur pertandingan itu.

Katanya, hasil siasatan berhubung perkara itu akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan salinan laporan polis bertarikh 21 Mei lalu yang tersebar di media sosial, peserta Unduk Ngadau terbabit mendakwa diraba di paha, tangan, leher dan belakangnya dalam sebuah kereta ketika mengikut suspek keluar makan malam di Kota Kinabalu,” katanya. – myMetro Online