Polis Siasat Video Penunggang Motosikal Mencelah Bawah Treler

SERDANG – Polis menjalankan siasatan terhadap sebuah video yang tular Ahad lalu menunjukkan seorang penunggang motosikal yang mencelah di bawah sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 307, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini sekitar Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superitendan Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima satu laporan hari ini pada pukul 5.21 petang berkaitan satu video rakaman penunggang motosikal yang tular di laman media sosial Facebook semalam.

“Video tersebut menunjukkan penunggang tersebut yang menunggang secara melulu dan berbahaya.

“Hasil siasatan awal mendapati dia menunggang motosikal secara melulu dengan mencelah masuk ke bahagian bawah sebuah treler yang berada di hadapannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman menambah, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar Mac lalu dan hanya tular baru-baru ini.

“Pemandu treler yang merupakan seorang lelaki warga tempatan telah dihubungi dan keterangannya akan diambil.

“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, tular sebuah video berdurasi 30 saat menunjukkan seorang penunggang motosikal telah memandu secara berbahaya dengan mencelah di bawah sebuah treler yang berada di hadapannya di lokasi kejadian. – KI ONLINE

Loading...