Polis Siasat Selebriti Didakwa Berziarah Pada Aidilfitri

29

AMPANG JAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung gambar keluarga selebriti yang didakwa berziarah pada sambutan Aidilfitri yang tular di media sosial, baru-baru ini, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya mengesan gambar keluarga selebriti berkenaan yang tular di dalam portal dan media sosial pada 4 petang tadi.

“Gambar berkenaan menunjukkan sambutan hari raya bersama seisi keluarga yang disyaki tidak tinggal sebumbung.

“Kejadian itu disyaki berlangsung di kediaman selebriti berkenaan yang terletak di Hulu Kelang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, terdapat kira-kira 13 individu yang disyaki satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.

“Majlis berkenaan dijalankan tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu aktiviti ziarah hari raya.

“Aktiviti berkenaan adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima satu laporan polis berkaitan kejadian berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, siasatan kejadian itu dijalankan mengikut Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kes itu masih dalam siasatan dan pihak polis akan memanggil semua yang terbabit untuk memberikan keterangan.

“Untuk makluman, sebanyak 599 kompuan dikeluarkan dan 16 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan melanggar SOP PKP di daerah ini bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Kami menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya. – myMetro Online