Polis Siasat Penulis Surat Kritik Hiasan Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah menjalankan siasatan terhadap penulis sepucuk surat yang dilaporkan mengkritik hiasan sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah sekolah di Puchong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau mendapati terdapat unsur-unsur ugutan dan menghasut di dalam surat itu.

“Saya sudah mengarahkan supaya satu siasatan dijalankan ke atas penulis surat tersebut,” katanya kepada Bernama hari ini.  

Beliau turut berharap dengan tindakan itu, orang ramai tidak perlu bimbang tentang kehilangan hak mereka yang termaktub di dalam perlembagaan.

Menurut Abdul Hamid, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Polis Selangor tentang perkara berkenaan.

“Saya dapati pihak sekolah tidak melakukan apa-apa kesalahan di atas inisiatif mereka menghias sekolah sempena menyambut Tahun Baharu Cina,” kata Ketua Polis Negara berhubung inisiatif yang dilakukan oleh pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong itu.

Beliau sebaliknya berkata usaha itu dapat menjalin hubungan lebih erat antara rakyat melalui pemahaman budaya masing-masing.

“Saya memuji pihak sekolah atas inisiatif menyuburkan perasaan saling hormat menghormati antara pelbagai budaya di negara ini,” kata Abdul Hamid.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan seorang pemimpin kanan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengancam untuk melaporkan sekolah itu dengan mendakwa hiasan Tahun Baharu Cina tersebut bersifat keagamaan.

Ketidakpuasan hati mengenai hiasan itu dinyatakannya dalam sepucuk surat kepada sekolah berkenaan yang dipaparkan di media sosial.

Loading...