Polis Siasat Hizbut Tahrir Malaysia

JOHOR BAHRU – Polis Johor membuka kertas siasatan terhadap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) selepas menerima 17 laporan polis terhadap fahaman yang difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan terperinci akan dilakukan pihaknya susulan doktrin fahaman kumpulan itu termasuklah menolak demokrasi selain melabel kerajaan sebagai kafir dan wajib diguling dengan kekerasan.

Bagaimanapun Ayob Khan berkata, setakat ini masih belum ada tindakan atau elemen kekerasan yang dilakukan HTM.

“Namun jika ada sebarang tindakan kekerasan dilakukan HTM, polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan ahlinya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Setakat ini, belum ada tangkapan lagi dibuat terhadap mana-mana pemimpin atau ahli HTM di negeri ini kerana ia masih berada di bawah bidang kuasa jabatan agama negeri. 

“Namun polis sentiasa memantau pergerakan kumpulan ini dan jika melangkaui garisan keselamatan, polis akan ambil tindakan tegas mengikut SOSMA dengan serta-merta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini. 

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan pendukung fahaman Hizbut Tahrir berikutan ia sudah difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak 10 Oktober tahun lalu.

Tosrin dilaporkan berkata, atas alasan itu, memorandum yang mahu diserahkan oleh sekumpulan individu mendakwa daripada HTM di Jabatan Mufti Johor, kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu, tidak diterima.

Antara fahaman HTM adalah harus mencium wanita bukan mahram tanpa maksud zina serta menonton video lucah.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, Polis Johor menyiasat HTM mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, kumpulan HTM dikesan aktif merekrut ahli baharu termasuk daripada golongan berpendidikan seperti pelajar universiti, ahli akademik kanan serta profesional.

“Lebih 80 ahli HTM dikesan bergerak aktif sejak tahun 2005 dan menjadikan markas mereka di Skudai di sini sebagai pusat penyebaran fahaman berkenaan. 

“Sehingga kini, lima negeri iaitu Johor, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah sudah memfatwakan HTM sebagai bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia turut diharamkan di Turki, Arab Saudi, Pakistan, Indonesia, Syria dan Jordan,” katanya. – BH Online

Loading...