Polis Siasat Hantaran FB UMA Siar Semula Kisah Lama

KUALA KANGSAR – Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu hantaran di laman Facebook individu dikenali sebagai Ustaz Muhammad Abdullah-UMA, kerana memuat naik status yang dipercayai berniat jahat dan boleh menimbulkan kegusaran awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata satu laporan polis berhubung hantaran dengan gambar bertajuk ‘Apa nak jadi sekarang ni, sedih betul yang hiburan dibenarkan yang solat didenda’, dibuat oleh Ketua Balai Polis Kuala Kangsar kira-kira pukul 3.20 petang semalam.

Katanya gambar yang dimuat naik di Facebook itu, merupakan kes pada 17 April lepas apabila Mahkamah Majistret Kuala Kangsar mendenda enam lelaki termasuk empat warga emas sebanyak RM800 setiap seorang, kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan solat berjemaah di masjid.

“Hantaran itu telah mendapat 830 tanda suka (like), 149 komen dan 163 perkongsian. Perbuatan sengaja memuat naik semula gambar itu adalah tidak bertanggungjawab dan seolah-olah pihak berkuasa menindas rakyat bawahan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di sini, hari ini. 

Katanya siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA