Polis Siasat Di Mana Anwar Pada 2 Oktober Tahun Lalu

KUALA LUMPUR – Polis kini sedang berusaha mengesan keberadaan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada tarikh insiden cabul yang didakwa bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata keberadaan Anwar menjadi aspek siasatan kerana tarikh kejadian itu merupakan tarikh sama berlangsungnya kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

“Saya percaya ia sedang dibuktikan tetapi ada yang kata A dan ada yang kata B. Sekarang ini polis sedang berusaha untuk tentukan di mana dan bila.

“Sebab seorang kata A dan seorang lagi kata B. Kita akan teruskan usaha,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Yusoff dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 November lalu mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan lucah yang didakwa dilakukan Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Anwar menafikan perkara berkenaan, mengatakan pada tarikh itu beliau giat berkempen bagi PRK Port Dickson dan menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur, kemudian kembali semula ke Port Dickson.

Sebelum ini, media melaporkan ujian poligraf antara pilihan yang dipertimbangkan pegawai penyiasat dalam siasatan kes itu.

Pada 9 Disember lalu, Yusoff hadir untuk mengambil ujian poligraf, kemudiannya memberi keterangan di Bukit Aman lebih 7 jam susulan akuan bersumpahnya sebelum itu.

Keesokan harinya, dia hadir buat kali kedua untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) yang mengendalikan kes itu.

Anwar pula hadir ke Bukit Aman pada 12 Disember lalu bagi memberikan keterangan. Bahkan polis turut menghantar anggota penyiasat ke rumah Anwar selepas itu. – FMT