Polis Siasat Dakwaan Sekolah Larang Bacaan Doa

KUALA LUMPUR – Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan sebuah sekolah di Pulau Pinang yang melarang bacaan doa pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dimulakan selepas polis menerima laporan berhubung insiden itu.

“Kes diterima pada 27 September, satu laporan polis diterima mendakwa beberapa individu hadir dalam satu majlis anugerah kecemerlangan di Sekolah Perempuan Methodis di Pulau Pinang yang menyatakan dalam majlis tersebut bacaan doa tidak dibenarkan.

“Tetapi, bacaan doa dalam bentuk Kristian diadakan dalam majlis tersebut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505C Kanun Keseksaan, iaitu disyaki mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan lain.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin dilaporkan berkata, pihaknya memberi amaran kepada pentadbir sekolah itu dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan pendidikan.

Loading...