Polis Siasat Aduan Sabotaj Billboard Calon Gerakan

PONTIAN – Aduan sabotaj papan tanda besar atau billboard calon Gerakan, Wendy Subramaniam yang didakwa dirosakkan pihak tidak dikenali dan wujud unsur sabotaj sedang disiasat polis.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh mengesahkan insiden itu ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengesahkan penerimaan satu laporan polis yang dibuat wakil Gerakan berhubung insiden billboard calon parti itu yang  didapati tumbang di Jalan Kukup, berhampiran pekan Pontian Kechil pada insiden pukul 10 pagi semalam.

“Laporan diterima di Balai Polis Pontian pada 3 November 2019. Lokasi billboard tumbang adalah di Jalan Kukup berhadapan francais makanan segera McDonalds Pontian.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan kes masih dalam siasatan polis,” katanya pagi ini.

Semalam Ketua Pengarah Operasi PRK Gerakan Pekan Nanas, Albert Teo membuat laporan polis pada pukul 4.20 petang selepas mengesan salah satu daripada 12 billboard yang memaparkan imej Wendy yang dipacakkan dengan besi setinggi tiga meter tumbang.

Dua anggota pegawai penyiasat telah turun ke lokasi menyiasat dan mengambil gambar billboard itu pada pukul 5.15 petang semalam sebelum Wendy hadir untuk melihat sendiri kerosakan tersebut.

Berikutan itu, Wendy menuntut kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai berjalan secara adil dan bersih tanpa unsur khianat terhadap mana mana calon bertanding.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya, Datuk Dr.Md Farid Md Farik meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu di Hospital Daerah Pontian.

Loading...