Polis Selangor Serah Siasatan Isu PKM Kepada Bukit Aman

SHAH ALAM – Polis Selangor menyerahkan segala siasatan kepada Bukit Aman berhubung perjumpaan membabitkan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang berlangsung di Kajang, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sehingga semalam, pihaknya telah menerima lapan laporan berhubung perkara itu.

“Pihak Bukit Aman akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

“Siasatan akan merangkumi semua termasuk akan memanggil pihak penganjur dan mereka yang hadir akan dipanggil Bukit Aman sebab ia melibatkan laporan dari pihak luar juga,” katanya pada sidang media semasa Majlis Pelancaran Program Neighbourhood Watch Polis Selangor Siri 2/2019 di Natural Health Farm, di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 300 individu menghadiri perhimpunan yang dipercayai melibatkan bekas ahli PKM itu di Kajang.

Perjumpaan itu difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu dan veteran Parti Keadilan Rakyat, Syed Hussin Syed Ali. – Sinar Harian

Loading...