3 Ahli Keluarga Bekas Pengganas Daesh Diselamat

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan tiga anggota keluarga bekas pengganas Daesh di Syria dan dibawa pulang ke Malaysia pada 6 Oktober lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata proses untuk membawa seorang wanita dan dua anaknya yang masing-masing berumur dua tahun dan lima tahun itu memakan masa sehingga sebulan.

Beliau berkata ia merupakan kerjasama bersama National Intelligence Organisation dari Turki yang sentiasa bertukar dan berkongsi maklumat dengan PDRM.

“PDRM beri jaminan keselamatan tiga keluarga bekas pejuang Daesh yang dibawa pulang dari Syria. Mereka akan melalui proses penilaian dan pemulihan.

“Setakat ini, terdapat 102 rakyat Malaysia disyaki sertai Daesh terkandas di negara bergolak itu (Syria) dan daripada jumlah itu, 37 telah terkorban termasuk dalang Daesh,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism E8, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. – BERNAMA

Loading...