Polis Sedang Jejaki Nur Sajat

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejaki usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang masih belum menyerah diri kepada pihak berkuasa agama selepas dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Waran tangkap itu dikeluarkan susulan Nur Sajat tidak hadir untuk sebutan semula kes berhubung menghina Islam pada 23 Februari lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah meminta bantuan pihak polis untuk mengesan usahawan berkenaan.

“Setakat ini, kita masih berusaha menjejakinya untuk diserah kepada JAIS,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, sumber berkata, Nur Sajat dipercayai bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan mahkamah.

Nur Sajat dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di tempat lain bagi mengelak dikesan JAIS.

Menurut sumber lain, penguat kuasa kini berusaha menjejaki Nur Sajat dan tidak menolak kemungkinan dia masih berada di sekitar Lembah Klang. – myMetro Online