Polis Sambut Baik Bantu Bawa Pulang Jho Low

KUALA LUMPUR – Polis mengalu-alukan rancangan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membantu membawa pulang ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, yang dilaporkan berada di China, bagi menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata usaha yang ingin dilakukan bekas menteri pertahanan itu adalah berdasarkan rangkaian hubungannya dengan pemimpin negara luar.

“Saya tidak pasti motif (Hishammuddin) tetapi (usaha kesan Jho Low) adalah berdasarkan ‘contact’ yang beliau ada… sekiranya boleh bantu, kita (polis) alu-alukan,” katanya sambil menambah tiada keperluan untuk memanggil Hishammuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tawaran Hishammuddin itu, pada perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata usaha mengesan Jho Low serta bapanya, Tan Sri Low Hock Peng dilakukan berterusan oleh polis, termasuk berhubung dengan polis antarabangsa (Interpol).

“Kita (polis) telah ambil langkah yang perlu termasuk berhubung dengan pihak berkuasa negara di mana Jho Low disyaki berada.

“Kita masih menunggu maklumat bagi membawa balik Jho Low ke negara,” katanya.

Pada Isnin, Hishammuddin berkata beliau bersedia menawarkan dirinya untuk mencari Jho Low di China dengan menggunakan hubungan terdahulunya dengan pemimpin China bagi menyelesaikan skandal 1MDB.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung rampasan barangan kemas yang mempunyai kaitan dengan kes dana 1MDB.

“Polis sedang kumpul maklumat daripada semua pihak, ada yang cakap mereka ada hak atas barang (kemas) itu.

“Jika mereka kata begitu, mereka kena buktikan dan jika mereka tidak dapat buktikan polis akan jalankan siasatan mengikut keperluan termasuk kepada pihak yang membuat tuntutan,” katanya.

Terdahulu, pada perhimpunan itu, seramai 49 pegawai dan anggota polis menerima Pingat Jasa Pahlawan sebagai menghargai semangat kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara. – BERNAMA