Polis Rampas Dadah Bernilai Lebih RM10 Juta

KOTA BHARU – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Pahang merampas pelbagai jenis dadah dan menyita harta bernilai RM11.53 juta.

Kejayaan itu adalah hasil daripada Ops Toucan dan Ops Damn Tokan yang dijalankan selama lima hari di kedua-dua negeri tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya turut dirampas sepucuk pistol jenis SIG Saucer bersama 88 butir 9mm ketika Ops Damn Tokan. 

Beliau berkata, dalam operasi itu sebanyak 88 tangkapan dibuatkan membabitkan 46 ‘tokan’ di negeri ini manakala 42 ‘tokan’ di Pahang.

“Semua suspek yang ditahan itu termasuk 43 daripadanya perempuan yang kesemua berusia antara 19 sehingga 53 tahun.

“Semua yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kelantan di sini, hari ini.

Mohd. Khalil Kader berkata, dalam Ops Toucan di negeri ini, pihaknya merampas sebanyak 700,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM10.5 juta dan menyita kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM476,000.

Katanya, dalam operasi itu, tiga lelaki berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan di Pasir Mas, pada pukul 12 tengah hari Khamis lalu.

“Susulan daripada seorang lagi lelaki berusia 48 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan seorang wanita berumur 37 tahun yang bertindak sebagai pengurup wang untuk mencuci hasil kegiatan haram mereka di Jalan Yaakubiah di sini,” katanya.

Ujarnya, lelaki tersebut yang dipercayai ketua sindiket dadah itu sedang menunggu untuk berlepas ke Makkah bagi menunaikan Umrah.

Menurutnya, rampasan terbesar itu sekaligus melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah ke seluruh negara ini khususnya di negeri ini.

“Sasaran kita adalah kepada tokan dan pengedar bagi memastikan dadah tidak sampai kepada pengguna.

“Oleh itu kita meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi Hotline JSJN 012-2087222,” katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai transit pengedaran dadah, beliau tidak menafikan sindiket pengedaran dadah tersebut.

Bagaimanapun, tambahnya, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha untuk mematahkan kegiatan itu daripada semasa ke semasa.