Polis Pertahan Anggaran Peserta ICERD Antara 55,000 Ke 60,000

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mempertahankan laporannya yang menganggarkan jumlah rasmi peserta perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai antara 55,000 dan 60,000 orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Muhammad Fuzi Harun berkata isu itu adalah subjektif, bergantung kepada pihak yang membuat anggaran.

“Ada (pihak) yang menyatakan lebih daripada itu. Ada yang kata 100,000 dan ada yang sebut 200,000 malah ada yang mengatakan lebih daripada itu.

“Kita ikut ‘between’ 55,000 hingga 60,000 peserta. Yang rasmi daripada pihak polis, kita dapat jumlah lingkungan itu,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan program Ronda Cegah Jenayah Pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol bersama Ketua Polis Negara di Central Market di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang tular dalam media sosial bahawa angka perhimpunan tersebut mencecah jutaan dan kononnya terbesar dalam sejarah.

Perhimpunan itu yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan kesyukuran atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Beliau dilaporkan turut berterima kasih kepada rakyat yang menghadiri perhimpunan itu. – BERNAMA

Loading...