Polis Perak Sedia Bantu Kesan Farhash

PARIT – Polis Perak sedia untuk memberi bantuan sekiranya diperlukan bagi mengesan Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih belum tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, bagaimanapun buat masa ini pihaknya menyerahkan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk mengesan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, 37.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah memberikan kenyataan berkenaan Farhash dan saya ingat apa yang disampaikan beliau perlu dihormati.

“Sekiranya diperlukan bantuan untuk kita kesan, kita memang akan beri bantuan dan kita juga akan dapatkan risikan maklumat untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Kelmarin, Abdul Hamid meminta Farhash untuk tampil bagi membantu siasatan kes rusuhan di Arena All Stars, Ampang, 31 Ogos lalu walaupun mangsa telah menarik balik laporan yang dibuat.

Menurut Abdul Hamid, pihak polis masih mencari Farhash bagi merekodkan percakapannya sebelum kertas siasatan dihantar ke pihak timbalan pendakwa raya bagi mendapatkan keputusan sama ada kes tersebut tiada tindakan lanjut (NFA) atau sebaliknya.

Farhash sebelum ini diminta tampil segera ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan kes menyerang seorang jurulatih tinju di kompleks sukan tersebut.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmar memaklumkan sehingga kini lima tangkapan berusia antara 22 hingga 38 tahun telah dibuat termasuk pengadu.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan bekas Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Kedah, Superintendan Barudin Wariso dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Perak Tengah yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Barudin dilantik menggantikan bekas Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Penyerahan serah terima tugas antara Mohamad Zainal dan Barudin berlangsung di Dewan Dato’ Maharajalela, IPD Perak Tengah disaksikan Razarudin.