Polis Pasir Mas Lupus Mercun Dan Bunga Api

PASIR MAS – Polis melupuskan pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM125,000 yang dirampas di sekitar daerah ini sepanjang 2017 sehingga September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Abdullah Mohammad Piah berkata kesemua mercun dan bunga api itu cuba di seludup melalui sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dan kebanyakannya dilakukan ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.

Polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu untuk tindakan, katanya kepada pemberita selepas pelupusan mercun dan bunga api berkenaan di Pondok Polis Tendong di sini, hari ini.

Mengenai persiapan polis menghadapi banjir musim tengkujuh di daerah Pasir Mas, Abdullah berkata 400 anggotanya akan ditugaskan bagi membantu penduduk yang terlibat.

“Kami juga akan melakukan rondaan di kawasan rendah yang dinaiki air dan kawasan tinggi yang menjadi tumpuan orang ramai meletak kenderaan bagi mengelak berlaku kecurian,”katanya. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...