Polis Pantau SOP Peperiksaan SPM Di Sekolah

PUTRAJAYA – Seramai 44 anggota dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis (IPD) terlibat dalam penugasan sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula Isnin.

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, pihaknya menempatkan dua anggota berserta satu pegawai di setiap sekolah.

“Penugasan ini bermula hari ini (Isnin) sehingga 25 Mac,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini pada Isnin.

Menurutnya, sepanjang tinjauan dan laporan, pihaknya mendapati aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berada di tahap memuaskan.

“Pada hari pertama peperiksaan SPM, kita lihat semua pelajar dan pihak sekolah berjaya melaksanakan SOP seperti yang dikehendaki termasuk guru-guru yang bertugas di dewan peperiksaan turut memakai penutup muka, face shield dan sarung tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa bersama ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SAS menunaikan solat subuh bersama pelajar-pelajar SPM.

Sementara itu, mengulas mengenai sekatan jalan raya (SJR), Mohd Fadzil berkata, empat sekatan yang dilakukan Polis Putrajaya masih kekal biarpun wilayah itu terletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Orang luar masuk Putrajaya tanpa kebenaran tetap akan dikenakan kompaun manakala penduduk di sini yang ingin keluar tanpa kebenaran diarah membuat pusingan U,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 257 kompaun telah dikeluarkan oleh pihaknya kepada individu yang melanggar peraturan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Sementara itu sebanyak 574 saman trafik telah dikeluarkan dan 32 tangkapan telah dibuat,” katanya.

Seramai 1,726 calon termasuk calon persendirian menduduki peperiksaan di sekolah sekitar Putrajaya yang berlangsung pada Isnin sehingga 25 Mac depan. – Sinar Harian