Polis Panggil Yusoff, AGC Arah Siasatan Baru Terhadap Farhash

PETALING JAYA – Polis memanggil bekas pembantu penyelidik Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther, susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya membuka semula siasatan ke atas satu laporan yang dibuat terhadap seorang pembantu presiden PKR itu tahun lepas.

FMT juga difahamkan bahawa polis diminta mengemukakan kertas siasatan kepada AGC hari ini sebaik sahaja mereka selesai mengambil kenyataan Yusoff.

Difahamkan bahawa satu siasatan baru dijalankan ke atas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizak Mubarak di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan berkait kesalahan intimidasi jenayah dan menyebabkan kecederaan.

“Siasatan itu diberi keutamaan dan (Peguam Negara) Tommy Thomas mahu kertas siasatan dikemukakan di Putrajaya hari ini tanpa lengah,” kata sumber dalaman yang maklum tentang perkembangan itu kepada FMT.

Sumber berkata, wujud “kebimbangan” bahawa tokoh politik tertentu mempengaruhi siasatan sebelum ini.

“Beberapa orang pegawai paling kanan telah ditugaskan untuk mengendalikan kes ini.”

Perkembangan ini muncul hanya 3 minggu selepas Yusoff mempersoalkan ketiadaan tindakan polis berhubung laporan yang dibuatnya terhadap Farhash, yang juga merupakan pengerusi PKR Perak, tahun lepas.

Dalam laporan polisnya Mei tahun lepas, Yusoff berkata, Farhash menyerangnya di sebuah banglo yang digunakan oleh Anwar sebagai pejabatnya, sehingga menyebabkan kecederaan di bahu beliau.

Satu laporan perubatan daripada Hospital Pantai menyebut bahunya cedera dan terkoyak dan memerlukan pembedahan dengan kos RM40,000.

Farhash menafikan dakwaan itu.

Bulan lepas Yusoff berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes berkenaan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) memutuskan tiada kes terhadap Farhash.

Yusoff memfailkan satu saman sivil terhadap Farhash pada September menuntut pampasan atas kecederaan yang dialaminya. Farhash juga memfailkan satu saman fitnah terhadap Yusoff.

Yusoff juga menuduh Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya, tetapi AGC pada bulan lepas memutuskan tidak terdapat keterangan yang mencukupi untuk mendakwa presiden PKR itu, yang dinamakan oleh Pakatan Harapan sebagai pengganti Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Pemimpin tertinggi gabungan politik itu dijangka mengumumkan tarikh peralihan kuasa itu esok. – FMT

Loading...