Polis Nafi Tutup Kes Exco Perak Rogol Pembantu Rumah

IPOH – Polis Perak menafikan dakwaan kononnya siasatan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia melibatkan seorang Exco kerajaan negeri telah ditutup.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, penyebaran khabar angin yang mengatakan mangsa telah dihantar pulang ke Indonesia setelah diberikan sejumlah wang juga adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau berkata, siasatan kes berkenaan masih dijalankan dengan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan negeri untuk siasatan lanjut.

“Semua itu palsu (dakwaan kes ditutup). Kita sebenarnya masih melengkapkan siasatan kes berkenaan dan apabila selesai, kertas siasatan akan dibawa kepada Pengarah Pendakwaan negeri.

“Dijangka siasatan lanjut itu akan selesai dalam minggu ini untuk tindakan seterusnya oleh pihak pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat pembantu rumahnya. 

Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...