Polis Nafi Gambar Tular Kelakuan Tidak Senonoh Pengunjung Pantai PD

PORT DICKSON – Polis menafikan kesahihan gambar tular yang memaparkan aktiviti dan kelakuan tidak senonoh sekumpulan pengunjung didakwa berlaku di pantai Batu 9 di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed, sebaliknya berkata gambar itu adalah kejadian berlaku di pantai Pulau Pinang beberapa tahun lepas.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson setakat ini tidak menerima apa-apa aduan daripada NGO (badan bukan kerajaan) atau orang awam berkaitan kejadian tersebut.

“Pihak kami mengalu-alukan kepada orang ramai tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan sekiranya kejadian seumpama itu berlaku di daerah Port Dickson,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai agar tidak menggunakan media sosial bagi menyebarkan perkara tidak benar kerana ia boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat. – BERNAMA

Loading...