Polis Masih Tunggu Laporan Patologi Kes Parti Dadah

KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu laporan ujian saringan air kencing kali kedua daripada pakar patologi berhubung kes 17 individu, termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, 12 Januari lalu.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata tindakan susulan akan diambil selepas menerima laporan berkenaan.

“Kita masih tunggu laporan itu. Saya tidak boleh memberi satu tempoh masa bila polis dijangka akan terima laporan berkenaan.

“Sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dipetik berkata JSJ Bukit Aman akan mengeluarkan kenyataan berhubung status siasatan kes itu selepas menerima laporan berkenaan.

Pada 28 Januari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ketika itu, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, dilaporkan berkata polis sudah menjalankan ujian saringan air kencing untuk kali pertama namun ujian kedua diserahkan kepada pakar patologi untuk mendapatkan pengesahan. – BH Online

Loading...