Wanita & Budak Lelaki Curi Telefon Bimbit Diburu

BUTTERWORTH – Polis sedang mengesan seorang wanita dan kanak-kanak lelaki yang mencuri telefon bimbit di sebuah kedai telekomunikasi di Terminal Penang Sentral di sini semalam yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pukul 6 petang itu selepas pekerja di premis berkenaan menyedari sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk dipamerkan kepada pelanggan dan diletakkan di kaunter telah hilang.

“Penyelia kedai itu kemudian telah membuat semakan kamera litar tertutup(CCTV) di situ dan mendapati seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang tidak dikenali telah masuk ke kedai dan mengambil telefon bimbit tersebut kemudian terus melarikan diri, ” katanya di sini hari ini.

Katanya siasatan awal polis mendapati semasa kejdian berlaku, terdapat tiga pekerja di kedai tersebut termasuk seorang penyelia kedai namun mereka tidak menyedari kejadian tersebut berlaku.

Beliau berkata hasil pemeriksaan CCTV di kedai tersebut mendapati, saspek wanita bertudung hitam dan berbaju putih serta seorang kanak-kanak lelaki umur lingkungan 10 tahun dipercayai mereka warga Myanmar berdasarkan warna kulit kedua-duanya.

Noorzainy berkata berdasarkan rakaman CCTV tersebut dilihat kanak-kanak itu telah mengambil telefon bimbit yang diletakkan atas ruangan kaunter kedai manakala wanita berkenaan memantau keadaan di situ bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pekerja di situ.

“Pekerja di kedai tersebut gagal mengenalpasti identiti wanita dan kanak-kanak berkenaan malah langsung tidak mengenali mereka,” katanya.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkan kepada pihak polis menerusi mana-mana balai polis berdekatan.

“Kes itu disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek di dalam video rakaman CCTV tersebut yang masih bebas bagi membantu siasatan, ” katanya. – BERNAMA

Loading...