Polis Kesan Lelaki Disyaki Tikam Isteri

JOHOR BAHRU – Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai menikam isterinya di sebuah pasar raya di Persiaran Dahlia 2, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Norazam Shaari berkata kejadian kira-kira 9.30 malam itu melibatkan mangsa yang berumur 21 tahun yang dalam proses perceraian dengan suaminya itu.

“Mangsa ditikam di bahagian leher, bahu serta dada menggunakan pisau pemotong sayur. Mangsa dirawat di unit kecemasan zon merah, Hospital Sultan Ismail, di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Norazam berkata sehubungan kejadian itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil membantu siasatan ke balai polis berdekatan atau menghubungi hotline polis kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui hotline polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.

Semalam, seorang pengguna Facebook memuatnaik dalam laman sosialnya meminta kerjasama orang ramai mencari seorang lelaki, yang disertakan dengan gambar.

Dalam paparan itu, pengguna itu mendakwa lelaki berkenaan menikam sepupunya berkali-kali di pasar raya berkenaan.

Turut dimuat naik, video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa wanita terbaring di atas jalan raya dengan kesan darah yang banyak sambil tangannya memegang leher dan meminta tolong. – BERNAMA

Loading...