Polis Kedah Saman 721 Kenderaan Dagangan

ALOR SETAR – Sebanyak 721 saman dikeluarkan polis terhadap pemandu kenderaan atas pelbagai kesalahan dalam ‘Operasi Kenderaan Perdagangan’ bermula 20 Disember hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Chuah Seong Lim berkata operasi yang menumpukan lori, bas, teksi dan van pekerja itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini.

Beliau berkata saman kesalahan berkaitan lesen, paling banyak dikeluarkan iaitu 160 saman manakala 151 saman pula dikeluarkan terhadap kesalahan pemandu kenderaan lain.

“Kami juga mengeluarkan antaranya 97 saman atas kesalahan parkir, masing-masing 67 saman cukai jalan tamat tempoh dan nombor pendaftaran patah serta kotor manakala 32 saman dikeluarkan kerana membawa muatan berlebihan dan berbahaya.

“Selain itu, 28 saman tidak memakai tali pinggang keledar, insurans (23), cermin sisi (18), mengubah suai struktur (12), lampu brek (sembilan) dan tayar botak (enam),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chuah berkata selain itu sebanyak 23 notis turut dikeluarkan JPJ dalam operasi itu.

Katanya berdasarkan operasi itu, pihaknya mendapati masih ramai pemandu kenderaan perdagangan tidak berdisplin serta gagal mematuhi undang-undang jalan raya. – BERNAMA