Polis Israel Serbu Perarakan Bawa Keranda Abu Akleh

11

BAITULMAQDIS : Polis Israel menyerbu perarakan yang disertai ribuan orang untuk pengebumian wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh, semalam.

Ikuti Mynewshub: Facebook,TwitterTikTokTelegram, Instagram

Rakaman televisyen menunjukkan sebilangan peserta bergelut memastikan keranda Abu Akleh yang sedang diusung, tidak terjatuh ketika polis Israel bersenjatakan belantan, meluru ke arah mereka dan merampas bendera Palestin dibawa orang ramai yang berkabung.

Washington dilapor berkata, mereka ‘amat bimbang’ dengan kejadian itu, manakala Kesatuan Eropah (EU) menyatakan mereka ‘terkejut’ dengan ‘kekerasan tidak perlu’ itu.

Menurut Bulan Sabit Merah Baitulmaqdis, seramai 33 orang cedera ketika perarakan itu, termasuk enam dimasukkan ke hospital.

Polis Israel memaklumkan bahawa pihaknya melakukan enam tangkapan, manakala pegawai kerajaan mendakwa peserta perarakan ‘membaling batu dan botol kaca.’

Dalam satu kenyataan yang jarang berlaku pula, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara mengutuk pembunuhan Abu Akleh.

“Ia sekali gus menggesa siasatan dilakukan dengan segera, teliti, telus dan tidak berat sebelah,” menurut diplomat.


Sementara itu di New York, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dilaporkan ‘amat terganggu’ dengan insiden keganasan ketika perarakan pengebumian terbabit.

“Guterres begitu terganggu dengan konfrontasi antara pasukan keselamatan Israel dengan warga Palestin yang berkumpul di Hospital St Joseph, dan sikap sebilangan polis di tempat kejadian.

“Beliau terus menggesa supaya menghormati hak asasi manusia, termasuk hak untuk kebebasan pendapat dan bersuara serta perhimpunan aman,” menurut jurucakap, Farhan Haq.

Dalam kejadian itu, polis Israel dilaporkan menyerbu orang ramai yang membawa bendera Palestin ketika perarakan membawa keranda Abu Akleh dari Hospital St Joseph di Baitulmaqdis Timur.

Abu Akleh, warga Palestin-AS berusia 51 tahun, ditembak mati ketika membuat liputan operasi tentera Israel di kem pelarian Jenin, Rabu lalu.

-Berita Harian