Polis Ingatkan Teksi Tidak Langgar Undang-Undang

KUALA LUMPUR – Polis hari ini memberi amaran kepada persatuan pemandu teksi agar tidak melanggar batas undang-undang termasuk mengadakan perhimpunan haram di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata sebarang perhimpunan yang mahu diadakan perlu mendapat kebenaran polis selain memastikan perhimpunan tersebut tidak menggugat ketenteraman awam termasuk mengganggu lalu lintas.

“Polis menasihatkan mereka menyerahkan maklumat kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan yang dicadangkan.

“Bagaimanapun, perhimpunan aman yang diadakan mestilah mematuhi syarat termasuk pemilihan lokasi yang sesuai seperti Padang Merbok dan tidak mengadakannya di tempat awam yang akan menyebabkan gangguan lalu lintas,” katanya mengulas hasrat persatuan pemandu teksi mengadakan perhimpunan di ibu negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di kawasan beli-belah Jalan Bukit Bintang di sini.

Penganjur perhimpunan aman warga teksi di Padang Merbok yang dibatalkan hari ini dilaporkan bercadang meneruskan perhimpunan tersebut pada Rabu depan.

Wakil persatuan pemandu teksi Datuk Shamsubahrin Ismail dilaporkan berkata pihaknya kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Dilaporkan persatuan tersebut mahu mengadakan perhimpunan bagi menuntut keadilan untuk pemandu teksi yang dikatakan terjejas akibat pelaksanaan perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

Sementara itu, Mazlan memohon pihak pengurusan pusat beli-belah di sekitar kawasan Bukit Bintang supaya memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membanteras jenayah di kawasan berkenaan dan mewujudkan suasana selamat kepada pengunjung terutama pelancong asing yang sering menjadi sasarn peragut dan penyeluk saku.

“Jadi kita melakukan rondaan kerana mahu mereka berasa selamat. Seramai lima pelancong asing yang saya temui di sini hari ini mengatakan mereka sudah beberapa kali mengunjungi negara ini kerana berasa aman dan selamat,” katanya.- BERNAMA