Polis Cari Lelaki Suap Bayi Minuman Keras

BAYAN LEPAS – Polis menjalankan siasatan terhadap satu rakaman video mengenai tindakan seorang lelaki memberi minuman keras kepada bayi yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya juga ada menerima satu laporan berhubung rakaman video yang didakwa berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang di sini.

“Siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan suspek yang terbabit,” katanya hari ini.

Sementara itu, ketua badan bukan kerajaan (NGO), David Marshel menggesa polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang memberikan minuman keras kepada bayi berkenaan.

Menurutnya, perbuatan seperti itu tidak harus berlaku dan bayi terbabit juga perlu dijauhkan daripada lelaki yang tidak tanggungjawab berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat dan minta supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

“Kita harap supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat segera mengambil tindakan bagi memeriksa dan membuat ujian darah terhadap bayi dalam memastikan mangsa tidak terdedah dengan kandungan alkohol,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 30 saat menunjukkan seorang lelaki memberikan minuman keras kepada seorang bayi.

Dalam video berkenaan, seorang lelaki yang tidak diketahui statusnya dengan bayi itu dilihat menyuapnya dengan tin minuman terbabit ketika duduk di sofa di sebuah rumah. – myMetro Online