Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Anwar

PUTRAJAYA – Polis telah membuka siasatan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan 13 laporan diterima berhubung rayuan untuk menggugurkan pengisytiharan darurat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, turut disiasat beberapa individu yang senada dengan ketua pembangkang itu.

“Bukan Anwar seorang, malahan beberapa lagi kita siasat,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan laporan polis yang dibuat berhubung perkara itu di seluruh negara.

Pada 20 Januari lalu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mendakwa majoriti ahli Parlimen sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meminta perkenan Seri Paduka Baginda menggugurkan pengisytiharan darurat.

Warkah itu, katanya bukan untuk membantah sebaliknya merayu ihsan serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengkaji semula alasan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda memperkenankan proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi tempoh hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan pihak yang berkait.

Muhyiddin dilapor menghadap Yang Dipertuan Agong pada 11 Januari lalu bagi memohon perkenan Baginda untuk pengisytiharan darurat berikutan situasi semasa pandemik Covid-19. – Sinar Harian