Polis Bertindak Adil Isu Pemimpin Dikaitkan Kumpulan Pengganas

KUALA LUMPUR – Polis akan bertindak adil dalam siasatan yang mengaitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedia maklum berkaitan perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengagungkan kumpulan pengganas.

“Video tular di media sosial yang menunjukkan pemimpin politik itu sudah lama berlaku dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak atasan dan Kementerian Dalam Negeri.

“Keputusan akan dibuat dalam tempoh terdekat sekiranya benar pihak terbabit mengagungkan pertubuhan pengganas luar negara kerana ia tidak kena dan tidak  sepatutnya berlaku di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat berek polis Bahagian Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Menurutnya lagi, pihak polis juga akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menimbulkan isu perkauman, keagamaan dan mencemarkan instisusi raja.

Terdahulu, satu klip video menunjukkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy menghadiri satu program membabitkan LTTE di sebuah hotel di ibu negara tular di Facebook.

Selain klip video berdurasi satu minit itu, beberapa keping gambar yang menunjukkan beberapa individu berarak dengan bendera pertubuhan tersebut turut tular.