Polis Beri Amaran Jangan Anjur ‘Private Party’

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada semua pihak terutama golongan muda untuk tidak menganjurkan sebarang “private party” kerana ia terdedah kepada penggunaan bahan terlarang dan aktiviti tidak bermoral.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap semua yang terlibat.

“Apabila dapat maklumat (mengenai private party) tindakan akan diambil dan kita (polis) tahu ada penggunaan barang terlarang seperti dadah.

“Saya beri amaran kepada mereka yang berhajat untuk adakan ‘private party’ terutama anak muda… ingatlah budaya kita bukan begini,” katanya dalam rancangan Bicara Pengguna di Saluran TV1 malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata pemilik premis yang membenarkan mana-mana pihak menganjurkan ‘private party’ di tempat mereka boleh dikenakan tindakan.

“Mereka (pemilik premis) perlu tahu untuk tujuan apa premis mereka disewa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan dadah menerusi talian hotline JSJN di 012-2087222.

“Setiap maklumat yang disalur kepada polis akan ditapis dan saya sendiri akan periksa semua maklumat yang diberi,” katanya.

Loading...