Polis Akan Panggil VIP Siasat Kes Babitkan Felda

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan akan memanggil beberapa orang kenamaan (VIP) untuk melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan salah laku dalam dua transaksi pengurusan sebelum ini yang mengakibatkan kerugian besar kepada Felda.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan memanggil beberapa VIP itu merupakan prosedur normal untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial memulakan siasatan dengan segera.

“Kertas siasatan juga telah dibuka dan laporan siasatan sedang berjalan ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan dan Pameran APAC Policetech di Hotel Le Meridien di sini, hari ini.

Akhbar tempatan semalam melaporkan, siasatan lanjut berhubung kes tersebut akan dilakukan pihak polis susulan dua laporan polis yang dilakukan oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Othman Omar.

Dua laporan tersebut dibuat berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam urusan jual beli saham oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada siasatan susulan (NFA).

Polis juga sedang mengenal pasti beberapa individu untuk dipanggil membantu siasatan dan berkemungkinan akan memanggil sama ada pegawai atau kakitangan Felda serta Lembaga Pengarah dan individu yang dirasakan mempunyai maklumat berhubung kes dilaporkan. – K! ONLINE

Loading...