Pokok Simbol UPM Tumbang Bakal Diganti

IBARAT patah tumbuh, hilang berganti, kisah sepohon pokok tua di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor yang tumbang pada 6 Januari lalu sebenarnya pernah cuba diselamatkan.

Ironi, jika telah ajalnya ditentukan, pakar hebat mana pun tidak dapat menyelamatkan nyawanya. Pokok Telinga Gajah atau nama saintifiknya Enterolobium Cyclocarpum berdiri gagah di Ladang 16 UPM itu sejak 40 tahun lalu.

Media melaporkan pohon yang penuh kenangan itu bagaimanapun tumbang tidak sampai seminggu kalendar 2019 bermula, sekali gus mengundang kesedihan bukan sahaja buat warga UPM, malahan masyarakat Lembah Klang.

Digelar ‘Tree of Life UPM‘ oleh pelajar dan staf universiti, pokok ini terkenal kerana sering hiasi iklan televisyen, akhbar, majalah, drama dan filem termasuk Lagenda Budak Setan lakonan Datuk Farid Kamil dan Lisa Surihani.

Kemuncak paparan keindahan pokok tersebut turut diabadikan terbang di ruang angkasa antarabangsa pada 2 Ogos 2017 lalu apabila sebuah pesawat Airbus 320 AirAsia memaparkan imej pokok ikonik dan jenama UPM.

Menurut pengguna Facebook dengan akaun Syirfan Indra, pohon besar itu mungkin sebatang pokok biasa tapi bagi alumni dan pelajar UPM, ia merupakan sebatang pokok tunggal di atas bukit yang ada nilai sentimental tersendiri.

“Itulah tempat melepas lelah (konon letih dengan tugasan), tempat dating, tempat kecewa, tempat lepak ataupun tempat pertemuan apabila bergraduasi. Istimewanya tempat ini kerana menawarkan angle gambar cukup istimewa.

“Ia bagai tree of life bagi pelajar UPM. Ambillah gambar dari sudut manapun, ia tetap cantik. Dengan biasan cahaya matahari dan ‘falsafah sebatang pokok’, pasti terhasil gambar bagai dari tangan jurukamera terkenal,” katanya.

Seorang pengguna Facebook, Khairul Anuar Muhamad Noh berkata, ‘pohon kehidupan UPM itu tumbang akibat serangan kulat dikenali ‘Rigidoporus Lignosus’ yang menyebabkan penyakit akar putih atau white root disease.

Penyelidik botani dari UPM yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia, segera menghimpunkan pakar-pakar pertanian terbaik untuk cuba menyelamatkan pokok tersebut sejak tahun lalu.

“Kumpulan pakar UPM yang mula menyedari tanda pokok itu diserang penyakit tersebut telah cuba memulihkannya sejak tahun lalu dengan membuat rawatan tanah untuk menggalakkan proses pertumbuhan pokok berkenaan.

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan daun baharu gagal pula mengimbangi kerosakan penyakit yang telah lama menyerang dan merebak dengan kadar yang cepat,” tulis Khairul Anuar dalam akaun sosial Facebooknya.

Patah tumbuh hilang berganti, UPM yang sedia fahami manifestasi pohon itu buat pencintanya akan ganti pokok kesayangan ramai dengan yang sama setelah rawatan tanah dibuat segera, katanya. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...