PM Umum Kelonggaran Tambahan Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia memberi lebih banyak kelonggaran bagi membolehkan rakyat melaksanakan aktiviti sosial dan ekonomi yang dinilai berada pada tahap risiko rendah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kelonggaran tambahan itu akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah bersetuju membenarkan beberapa kelonggaran. Dalam menetapkan kelonggaran ini, kerajaan amat memahami tekanan, kepenatan dan kelesuan rakyat selepas lebih setahun berada dalam situasi pandemik yang membataskan aktiviti dan pergerakan.

“Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana berisiko membawa kepada kesan yang lebih serius terutama menjejaskan kesihatan mental,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Yang hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Hishammuddin, selain kelonggaran tambahan yang diumumkan nanti, kerajaan sedang meneliti beberapa lagi bentuk kelonggan bagi aktiviti pelancongan selain destinasi yang termasuk dalam inisiatif gelembung pelancongan.

Selain itu, kerajaan turut mempertimbang menambah destinasi inisatif gelembung pelancongan untuk destinasi bukan pulau.

“Sebelum kelonggan-kelonggaran berkenaan diumumkan, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu melakukan penilaian tahap risiko jangkitan Covid-19 dengan menggunapakai prinsip 3C/3S, (Sesak, Sempit, Sembang Dekat).

“Sekiranya memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan, kerajaan bersedia membenarkan pelaksanaannya. Perincian mengenainya akan dibincang dalam Mesyuarat Kuartet akan datang,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan yang pihaknya bersama tiga lagi menteri akan memperhalusi usaha kearah memperkemas lagi SOP sedia ada supaya ia lebih difahami rakyat.

“Buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa PPN. Menerusi usaha memperkemas semula SOP berkenaan, matlamatnya adalah untuk mengurangkan kepada hanya 10 SOP.

“Bagi menentukan bagaimana SOP-SOP sedia ada ini dapat diperkemas, kerajaan tidak hanya mengambil data-data sains khususnya daripada KKM, tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE