PM Umum AIM Terima Peruntukan Khas RM100 Juta

PEKAN – Peruntukan khas Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM100 juta bagi penambahan had pembiayaan untuk disalurkan kepada golongan sasaran yang terdiri daripada isi rumah miskin dan berpendapatan rendah telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib membuat pengumuman itu ketika berucap di hadapan 2,500 orang pada Program Himpunan Usahawan AIM Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Pembiayaan itu melibatkan pinjaman I-Sejahtera bagi tujuan ekonomi yang ditingkatkan daripada jumlah maksimum RM10,000 pada masa ini kepada RM15,000, manakala pinjaman I-Wibawa ditingkatkan daripada RM5,000 (maksimum) kepada RM15,000.

Najib berkata, beliau sentiasa memberi keutamaan kepada AIM dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional kerana mengetahui dua badan ini memainkan peranan penting untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

“Tiap-tiap tahun dalam Bajet saya tidak lupa nak tanya banyak mana peruntukan untuk AIM dan TEKUN sebab saya tahu inilah dua badan yang mampu mengubah untung nasib golongan yang memerlukan bantuan.

“Insya-Allah saya sebagai Perdana Menteri, saya akan terus bantu AIM,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Loading...