PM Ulangi Pendirian Akan Nasihat Agong Bubar Parlimen

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen selepas pandemik Covid-19 dapat diatasi.

Menurutnya, ia bagi membolehkan pilihan raya diadakan dan rakyat bebas memilih kerajaan yang layak untuk memerintah.

“Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan yang ada untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini,” katanya ketika berucap semasa Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Menurut Muhyiddin, fokus utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini ialah menjauhkan negara daripada krisis ekonomi dan kesihatan.

“Sebaik sahaja pandemik ini berakhir, saya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Sehingga waktu itu, saya dan rakan dalam Kabinet akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, apabila pilihan raya diadakan, mereka akan menyerahkannya kepada rakyat untuk membuat keputusan sama ada kerajaan PN harus dipilih semula atau sebaliknya.

“Anda bebas untuk memilih dan itulah demokrasi,” katanya. – Sinar Harian