Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Miss Universe M’sia Bakal...

SEJAK pendedahan pereka fesyen duo terkenal negara, Rizman Ruzaini mengenai busana yang bakal digayakan...

Noor Hisham Antara Doktor...

KUALA LUMPUR - Komitmen Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengetuai...

Kajian Retikulasi Atasi Masalah...

MELAKA - Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran...

Guru Maut Ketika Sertai...

KOTA BHARU - Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, maut selepas motosikal berkuasa...

PM Rungkai Kejayaan Negara Ketika Umum Pembubaran

KETIKA membuat pengumuman mengenai pembubaran Parlimen untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Datuk Seri Najib telah mengariskan pelbagai kisah kejayaan yang dicapai negara selama ini.

Ia demi rakyat dan negara yang menjadi teras kepimpinannya sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009 daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sehingga sembilan tahun berlalu, banyak kejayaan telah dilakar.

Berikut ialah ucapan penuh beliau semasa pengumuman khas berkenaan di Bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada tengah hari Jumaat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan:

ASSALAMUALAIKUM WBT, Salam Sejahtera dan Salam Negaraku 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Dimulai kalam, pada hari yang berbahagia ini, marilah kita memanjatkan pujian, seraya mengangkat rasa syukur ke hadrat Allah SWT, atas keizinan-Nya jua, maka saya dan Timbalan Perdana Menteri serta Jemaah Menteri, dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sempena ucapan khas ini, yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Hampir lima tahun lalu, ketika saya mengangkat sumpah semula sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 6 Mei 2013, apabila parti Barisan Nasional telah berjaya membentuk kerajaan, setelah diisytiharkan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

Kerajaan dengan gigihnya, telah meneruskan usaha untuk mentransformasi negara, dengan berpaksikan dua kerangka besar falsafah iaitu Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang dicetuskan pada 2009 dan Dasar Transformasi Nasional, yang dimulakan pada tahun 2010.

Kemudiannya, diikuti dengan beberapa dasar dan inisiatif utama lain antaranya, Program Transformasi Negara, Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS.

Ternyata, segala ikhtiar dan kerja keras telah membuahkan hasil, sehingga berjaya meraih pelbagai kejayaan manis dan pencapaian yang membanggakan, selain tidak kurang juga berdepan dengan bermacam cabaran getir yang semakin mematangkan kita, dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

Malah, bermula dari 2009 lagi, kerajaan benar-benar telah melakukan “Transformasi Inklusif lagi Komprehensif”, sehingga menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh kejayaan kepada rakyat dan negara.

Pertama: Memastikan Ekonomi Malaysia terus stabil dan berdaya tahan. Meskipun sewaktu saya mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan, ekonomi Malaysia telah menguncup sebanyak negatif 1.5 peratus, namun Alhamdulillah, kita telah berjaya mengharungi krisis ekonomi dan kewangan dunia dengan baik, teliti serta teratur.

Buktinya, pada tahun lalu, KDNK negara telah mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, yakni merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Ini sekaligus menyangkal tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa, Malaysia adalah negara yang bakal bankrap.

Kedua: Pendekatan amalan Kerangka Maqasid Syariah. Sesungguhnya, amalan yang memenuhi roh dan tuntutan Manhaj Maqasid Syariah, sebagaimana yang dianjurkan oleh para Ulama Muktabar sejak beratus-ratus tahun, sekalipun tidak dinyatakan secara tertulis dalam mana-mana dokumen rasmi negara, namun ternyata, pendekatan ke arah berpegang kepada pedoman, roh dan prinsip kerangka ini, amat jelas dirasai dalam sebarang pembentukan falsafah dan penggubalan dasar-dasar penting negara.

Sebagai contoh yang sering diutarakan adalah Dasar Wasatiyyah Negara, yakni pendekatan kesederhanaan atau moderation, yang tidak terlalu ekstrem, dengan menolak ideologi Daesh dan IS, serta bukan pula menjurus kepada fahaman yang terlalu longgar dan liberal, sehingga keberkesanannya turut diakui oleh banyak pemimpin serta negara di serata dunia. Antaranya, Malaysia telah mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Liga Muslim Sedunia atau WML.

Ketiga: Meningkatkan pendapatan rakyat dan peluang pekerjaan. Sebenarnya, kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat agar setimpal dengan kos sara hidup semasa, agar semua masyarakat dapat mempunyai pekerjaan, seperti melalui pelaksanaan Gaji Minimum Kebangsaan yang terkini pada tahun 2016, telah dinaikkan kepada RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak.

Kerajaan juga telah berjaya mewujudkan sebanyak 2.26 juta peluang pekerjaan baharu, yang semakin menghampiri sasaran 3.3 juta menjelang 2020, kepada rakyat Malaysia.

Malahan, pada 28 Mac 2018 lalu, syarikat Aramco, milik Kerajaan Arab Saudi telah menyuntik AS$7 bilion atau berjumlah hampir RM30 bilion dana pelaburan ke negara ini, yang dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda serta rakyat Malaysia.

Keempat: Melaksanakan pembangunan infrarakyat seperti projek MRT fasa pertama, yang telah mencipta sejarah apabila berjaya disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan, hingga menjimatkan RM2 bilion.

Begitu dengan pembinaan projek East Coast Rail Link atau ECRL, yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri-negeri di sebelah Pantai Timur.

Selain itu, Kerajaan juga sedang rancak menjayakan projek High Speed Rail atau HSR yang bakal menghubungkan dari Kuala Lumpur ke Singapura, dan projek Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol, dengan jarak lebih 2,000 kilometer, di Sabah dan Sarawak, yang sudah pasti akan menjadi game changer, selain membuka peluang dan merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi buat masyarakat di sekitarnya.

Jadi, setelah menyaksikan sekian banyak inisiatif dan projek kerajaan yang bermanfaat untuk rakyat, mengapa masih ada pihak-pihak yang tidak senang hati dan berterusan mentohmah kita sebagai sebuah negara gagal? Di sudut mana yang dikatakan gagalnya?

Kelima: Mensejahterakan kehidupan rakyat. Sebetulnya, kerajaan begitu memahami cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan telah melakukan sekian banyak inisiatif bagi meringankan beban kehidupan mereka.

Antaranya melalui bantuan-bantuan kepada golongan masyarakat yang memerlukan, khususnya kepada kumpulan B40 seperti BR1M, memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 dan Jualan Sentuhan Rakyat, yang menawarkan harga barang lebih rendah daripada pasaran, UTC dan RTC menawarkan perkhidmatan tujuh hari seminggu sehingga pukul 10 malam, bantuan khas kepada para petani, nelayan, pesawah, pekebun kecil, imam, bilal, tok siak, dan juga para penjawat awam.

Begitu jugalah dengan inisiatif lain seperti Rumah Mampu Milik, PPR, PR1MA, PPA1M, SPNB, manakala kepada golongan pertengahan pula tidak dilupai dengan pengurangan kadar cukai sebanyak dua peratus sebagaimana yang telah diumumkan dalam Bajet 2018.

Ini tidak termasuk perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital kerajaan yang hanya mengenakan bayaran kepada rakyat serendah RM1 sahaja. Manakala, bagi kos pendidikan pula, bermula dari pra-sekolah hingga ke peringkat menengah, telah kerajaan berikan secara percuma dan untuk Universiti Awam pula, hampir 90 peratus kos pengajiannya ditanggung oleh pihak kerajaan.

Dipendekkan, hampir kesemua golongan masyarakat di negara ini, telah benar-benar merasai nikmat dan dasar-dasar yang baik lagi mendatang manfaat kepada rakyat, yang telah diperkenalkan oleh kerajaan masa kini.

Keenam: Merealisasikan Aspirasi Transformasi Nasional 2050 atau TN50. Sejak pertama kali visi TN50 diperkenalkan, ketika saya pembentangan Bajet 2017 yang lalu, demi melakarkan canvas dan halatuju negara yang baharu, untuk tempoh 30 tahun mendatang, supaya tanahair ini diwarisi oleh generasi TN50 yang Khayra Ummah dan berminda Par Excellence, demi membariskan Malaysia sebagai sebuah negara antara yang terunggul di dunia.

Ketujuh: Kerajaan ini adalah kerajaan yang boleh dipercayai, menepati dan mengotakan janji-janjinya. Kerana, saya percaya bahawa, politik itu bukanlah sekadar menabur janji-janji. Bahkan, lebih utama dari itu, politik sebenarnya adalah pelaksanaan kata-kata dan keupayaan untuk mengotakan segala janji-janji kepada rakyat.

Di sudut ini, saya ingin mengatur syukur, apabila Akujanji Kerajaan Barisan Nasional, setakat 28 Februari 2018 sahaja, telah berjaya ditunaikan hingga mencapai 99.4 peratus.


Lantaran itu, saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa, saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-13 dibubarkan berkuat kuasa pada hari Sabtu 7 April 2018.

Oleh yang demikian, saya menasihatkan kepada Ketua-Ketua Kerajaan Negeri yang berkenaan, untuk menghadap Ketua-Ketua Negeri mereka, bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing, supaya Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Sememangnya, pembubaran ini, menzahirkan komitmen Kerajaan Barisan Nasional terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan pilihan raya umum bagi kali yang ke-14 untuk negara semenjak tahun 1959 dijalankan menurut lunas undang-undang.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, yang menjadi tunjang serta sebati dengan pemerintahan, kuasa untuk memilih kerajaan, berada sepenuhnya di tangan rakyat.

Apatah lagi, Malaysia sejak merdeka, telah mengamalkan sistem pilihan raya first past the post, yakni berasaskan jumlah kerusi yang dimenangi dan bukannya berdasarkan kiraan undi popular, yang sewajibnya difahami oleh semua pihak, khususnya, melibatkan parti-parti yang akan bertanding dalam pilihan raya di negara ini.

Sehingga saat ini, kerajaan telah memenuhi mandat dan mematuhi proses demokrasi berparlimen. Kerajaan ini juga menjunjung tinggi keluhuran dan kesucian proses penggubalan serta pelaksanaan undang-undang melalui institusi parlimen yang kita hormati lagi muliakan.

Mulai ketika dan saat ini, saya, bersama dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan rakan-rakan pimpinan Barisan Nasional, akan turun menjelajah untuk bertemu rakyat di seluruh pelosok tanahair, bagi memberi penerangan serta meyakinkan warga Malaysia tentang manifesto dan halatuju negara, yang kami carta serta rencanakan dengan teliti, agar para pengundi memberi mandat dan peluang sekali lagi kepada kami, untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat lagi stabil, dengan majoriti yang kukuh.

Dengan izin Tuhan, jika kemenangan sekali lagi berpihak kepada Barisan Nasional, kami sesungguhnya berjanji dan berikrar, akan melakukan yang terbaik, lebih baik daripada sebelumnya, dengan melakukan transformasi yang lebih besar, inklusif lagi komprehensif kepada rakyat serta negara.

Apa yang penting, perjalanan transformasi tidak boleh terhenti setakat di sini sahaja. Dunia pun sudah berubah dan kita tidak harus lagi berundur ke belakang atau kembali semula ke zaman silam yang kelam lagi malap serta penuh kesuraman.

Sebaliknya kita mesti sama-sama meneruskan kejayaan transformasi inklusif negara ini, untuk menuju masa depan yang lebih cerah serta sudah nampak kelihatan cahaya kegemilangannya.

Maka itu, atas nama Negaraku dan penghayatan prinsip Rukun Negara, saya amat berharap supaya, pilihan raya kali ini, tidak kira apa jua fahaman atau lambang politik, akan dapat kita sama-sama langsungkan dengan baik, teratur, penuh hemah dan lancar, sehingga tercapai matlamatnya.

Jika mana rakyat dapat berfikir dengan akal yang waras dan bukan dengan emosi, kita menyeru kepada semua agar menilai dengan sewajar-wajarnya akan sekian banyak usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang telah stabil, berpengalaman luas serta berasaskan track record yang terbukti cemerlang sehingga ke persada dunia, sejak enam dekad lalu, terutama sekali semenjak semenjak tahun yang lepas.

Antara sekian banyak usaha dan pencapaian cemerlang tersebut, kita telah berjaya memastikan keamanan dan keselamatan, keharmonian serta kestabilan dan kemakmuran negara tetap teguh terjamin lagi terpelihara, kita telah berupaya meningkatkan kualiti kehidupan rakyat menjadi lebih bahagia serta sejahtera, malah, kita juga mempunyai pelan rancangan masa depan yang sangat hebat lagi tersusun rapi.

Atas keyakinan itu, saya ingin tegaskan, sepanjang tempoh separuh dekad akhir ini, kita bukan sahaja telah mampu deliver dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan, malah saya dengan beraninya mengatakan bahawa, we have delivered and we will continue to deliver.

Bahkan, seandainya rakyat terus memberi mandat, memilih Kerajaan Barisan Nasional yang sedia ada, untuk kekal memerintah bagi tempoh lima tahun ke hadapan ini, maka Insya-Allah, saya bersama pucuk pimpinan, sesungguhnya kami menjanjikan.

Akan terus menyempurnakan tugas kita dengan lebih berkesan dan unggul, demi mengangkat maruah dan martabat negara agar terjulang gagah, sebagai 20 negara terbaik lagi terhebat di persada dunia menjelang TN50.

Lantaran itu, saya berikrar dan berjanji,… selaku Ketua Kerajaan, bersama para pucuk pimpinan bahawa, kita akan membangunkan negara ini dari Perlis sampai ke Sarawak membawa ke Sabah, agar tidak ada satu pun kawasan atau rakyat yang akan ketinggalan, atas prinsip NO ONE IS LEFT BEHIND!

Atas segalanya, demi rakyat,… demi Negaraku tercinta,… marilah kita teruskan perjalanan kejayaan transformasi yang lebih hebat ini bersama Barisan Nasional.

Hari ini milik kita,… Hari esok dan hari-hari berikutnya, mudah-mudahan bakal menjanjikan masa depan yang lebih cerah nan indah, bergemerlangan cahayanya, disinar kejayaan Malaysia di bawah panji Barisan Nasional.

Sehubungan itu, saya dengan penuh kerendahan hati, memohon untuk diberi mandat baharu kepada Barisan Nasional untuk terus membawa Malaysia ke mercu kejayaan.

Akhir kalam, sebagai dipesan oleh orang tua-tua,… saya ingin menanda hari pembubaran yang berkuat kuasa esok, dengan kata-kata kiasan yang berbunyi:

Negara Malaysia namamu kini megahlah sudah,

Dibina dan dibangun berbekal keringat dan air mata, Kerajaan Barisan Nasional berusaha sudah, berbakti pun sudah,

Kepada rakyat pilihlah yang berhak dan telah berjasa, lalu tawakal diserah kepada Allah.

Saya berdoa dengan penuh pengharapan, semoga Allah izinkan segala-galanya dan kita beroleh kemenangan, kepada-Mu Ya Tuhan, kami memohon pertolongan. Amin Allahumma Amin.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Kategori