PM Menghadap Yang Di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Istana Negara di sini untuk menyerahkan senarai nama Anggota Parlimen yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan baharu.

Perdana Menteri yang tiba pada pukul 5.16 petang menaiki kenderaan rasmi berwarna hitam terus dibawa menghadap Seri Paduka di Bilik Seri Puteri pada pukul 5.30 petang.

Perjumpaan tersebut berlangsung selama 40 minit.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepada nama-nama yang dicadangkan dan istiadat mengangkat sumpah serta sumpah rahsia sebagai Menteri Persekutuan akan diadakan pada Isnin ini di Istana Negara.

Pada 10 Mei lalu, Dr. Mahathir, 92, mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai perdana menteri buat kali kedua susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau meletakkan jawatan perdana menteri pada 2003. – BERNAMA

Loading...